Thursday, 22 August 2013

kesedihan yang tidak diundang...:-(



Di saat aku perlukan seseorang.....hanya air mata peneman setia
Di saat hati terluka.....aku hanya mampu menangis sendiri
Demi sebuah hati, aku sembunyikan segala kesedihan
Maafkan aku bila tak sempurna
Diri ini hanya insan biasa
Sekiranya kehadiranku banyak membebankan
Cintaku, sayangku hanya pada Penciptaku
Tiada apa lagi yang kuharapkan untuk kehidupan ini
Aku akan teruskan jua walau terpaksa bangun semula
Maafkan segala salah silapku............










Wednesday, 21 August 2013

PENYAKIT ALASAN PUNCA KEGAGALAN


Apakah punca kegagalan? Punca paling besar adalah selalu membuat alasan. Jadi, penyakit yang selalu ada dalam kalangan orang yang gagal adalah orang yang selalu beralasan untuk berjaya dan melaksanakan tugasnya.
Di kalangan mereka ini, ada yang mengharapkan bulan jatuh ke riba tanpa melakukan usaha. Angan-angan mat jenin sudah menjadi tabiat mereka. Kerja mereka hanya goyang kaki dan mengharapkan nasib semata-mata.
Tahukah anda bahawa orang yang bijak tidak menggunakan alasan yang sama yang dibuat oleh orang yang gagal walaupun mereka boleh melakukannya. Kadang-kadang, mereka juga sakit, keletihan, buntu dan tiada idea tetapi mereka tidak menjadikan perkara ini sebagai penamat atau penghalang daripada terus berusaha sebaliknya mereka menjadi lebih ghairah untuk mencari penyelesaiannya.

Suatu perkara yang lebih buruk lagi, orang yang selalu beralasan dengan sesuatu alasan, katakanlah dia selalu beralasan bahawasanya dia tidak sihat, maka sebenarnya dia telah memfokuskan dirinya dalam keadaan sakit dan tidak bermaya. Walaupun, dia tahu itu hanyalah alasan yang dibuat pada sesuatu ketika tetapi dia lupa bahawasanya perkara itu sedang berakar umbi dalam dirinya. Seluruh tubuh sedang berusaha untuk menjadikan dirinya lemah dan tidak bermaya kerana dia telah memikirkan demikian.
Hal ini telah dibuktikan dengan seorang yang menghidap penyakit kencing manis tahap normal. Beliau merasakan dirinya tidak sihat dan terlalu berhati-hati dalam semua perkara bagi mengelakkan dirinya tercedera atau terkena jangkitan. Beliau juga mengurungkan diri sendiri dalam bilik dan kurang bergaul dengan orang lain. Kesannya, tubuh badannya menjadi semakin lemah dan penyakit kencing manisnya semakin kronik.
Apakah alasan yang sering orang gagal gunakan ?
1. Saya tidak sihat
Ini alasan yang paling banyak sekali digunakan. Bayangkan, kita banyak gunakan alasan ini dan hasilnya kita tidak ke kelas atau tempat kerja berhari-hari. Katakanlah dalam setahun, kita telah menggunakan alasan ini 5 kali bermakna kita telah menghabiskan diri masa kita untuk berada dalam alasan ini selama 5 hari. Dan 5 hari bermakna 5 x 24 jam = 120 jam. Lama tu! Bayangkan kalau kita gunakan masa itu untuk kita menulis, saya kira kita sudah mampu menghabiskan 2-3 bab.
Apakah sakit yang bermasalah? Tidak. Sakit tidak bermasalah tetapi yang bermasalah adalah menggunakan alasan sakit untuk duduk dan berbaring semata-mata tanpa melakukan apa-apa kerja. Anggapkan hari sakit anda seperti hari-hari biasa. Lakukan kerja harian seperti biasa dan abaikan fikiran kita daripada mengingati sakit. Jangan bercakap dengan orang lain tentang sakit dan keadaan anda kerana ianya hanyalah menambahkan lagi kesakitan dan anda lebih tidah bermaya. Syukurlah dengan apa yang anda hadapi sekarang. Berapa lama anda mengecapi nikmat kesihatan sebelum Allah berikan kesakitan? Pastinya kesakitan ini hanyalah sekejap jika dibandingkan dengan kesihatan.
2. Saya tidak cukup pandai
Ini adalah sikap orang yang terlalu merendah diri. Puncanya, anda terlalu memandang rendah terhadap keupayaan diri sendiri dan memandang tinggi keupayaan orang lain. Pandanglah diri kita sebagai insan yang luar biasa dan mempunyai kemampuan yang istimewa yang belum kita cungkilkan lagi. Cari peluang untuk mencungkil bakat yang terpendam itu.
Ingatlah bahawa ilmu bukanlah kuasa atau penyebab seseoran itu berjaya kerana ramai orang yang berilmu tetapi tersungkur di tengah jalan menuju kejayaan. Ilmu adalah potensi kuasa sahaja sebaliknya yang menjadikannya berkuasa adalah mengaplikasikan ilmu.
Selain itu, orang yang genius bukanlah orang yang berjaya di atas muka bumi ini. Kebanyakan orang yang berjaya di dunia ialah orang yang tidak sempat menghabiskan persekolahan mereka. Mereka hanyalah orang berjaya mengawal pemikiran mereka untuk berjaya.
3. Saya terlalu muda/ tua
Faktor umur dalam menggapai kejayaan adalah tidak penting. Semua orang mampu berjaya. Tiada istilah terlewat dalam berjaya. Selagi mana anda ada keinginan untuk Berjaya maka anda mampu melakukannya. Just do it!
Ramai orang muda yang mengetuai organisasi yang kebanyakan ahlinya adalah orang tua. Yang penting bukan tua atau muda tetapi bagaimana anda menguruskannya dan menghargai orang lain yang lebih tua daripada anda.
Mengikut kajian, umur yang produktif adalah antara 20 tahun hingga 70 tahun. Maka, jika kita masih dalam linkungan ini, teruskanlah usaha untuk berjaya. Sebaliknya, jika sudah terkeluar dalam lingkungan ini tetapi merasa yakin mampu untuk menggapai kejayaan, maka buktikan kajian tidak benar dan anda mampu melakukannya.
4. Saya sentiasa bernasib malang
Siapakah yang tahu nasib anda? Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Apakah kerja anda? Usaha dan tawakkal kepada Allah s.w.t. Mengharapkan nasib semata-mata adalah seperti mengharapkan bulan jatuh ke riba.
Buatlah perubahan. Pasti di sana ada sedikit kekurangan yang perlu diperbaiki. Tingkatkan diri anda kepada yang lebih baik. Banyakkan membaca dalam bidang yang diceburi serta buat sedikit kajian tentang kelebihan dan kelemahan diri sendiri dalam bidang tersebut serta kelebihan dan kekurangan pihak lain. Insya Allah, pastinya anda akan mendapat peluang yang diharapkan.
Kesimpulannya, janganlah beralasan walaupun alasan itu benar kerana ia hanyalah melemahkan diri anda. Positif dalam berfikir dan bertindak. InsyaAllah, anda pasti Berjaya. 

ANANIYAH – KANSER YANG SUKAR DIUBATI


Di antara penyakit yang paling sukar diubati di kalangan umat Islam kini ialah penyakit ‘ananiyah’ yang membarah di dalam diri.
Ananiyah (aku dan keakuan) adalah penyakit hati yang lebih mementingkan urusan atau kepentingan peribadi dan tidak peduli dengan kepentingan orang lain.
Mereka melihat sumbangan orang lain hanya dengan sebelah mata dan dan mengambil tindakan yang biasanya hanya didorong oleh kehendak nafsu (egois).
Ada yang ananiyah dengan pendapat dan kehebatan diri sendiri, ada yang ananiyah dengan kumpulan dan jamaah sendiri, ada yang ananiyah dengan keturunannya dan pelbagai bentuk yang lain.
Yang lebih bahaya apabila menganggap seolah-olah bahawa hidayah itu adalah miliknya, hanya amalannya atau kumpulannya yang terpuji dan seolah-olah hanya sumbangannya yang paling hebat.
Ananiyah sering menimbulkan sikap permusuhan di kalangan umat islam dan sikap permusuhan itu tentunya sangat dibenci Allah swt.
Ingatilah firma Allah swt yang bermaksud:
“Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur lagi membanggakan diri.” [Surah Luqman, ayat 18]
Semoga kanser yang membarah di dalam jiwa umat ini diubati dengan sifat ‘itsyariyah’ iaitu rasa kebersamaan, kepekaan sosial di dalam pergaulan seharian sehingga kita akan mendahulukan kepentingan ummat atau masyarakat walaupun kadang-kala ianya memerlukan pengorbanan dari dirinya.
Ya Allah, ubatilah jiwa kami dan umat ini dengan sifat-sifat mahmudah…

BERBUAT BAIK KEPADA IBU BAPA


Ibu bapa merupakan insan yang paling rapat dan dihormati dalam institusi keluarga. Mereka banyak berkorban dalam membesarkan dan memberi didikan kepada anak-anak. Mereka tidak pernah meminta atau mengharapkan balasan atau bayaran terhadap penat lelah, pengorbanan dan kasih sayang yang mereka berikan.
Dewasa ini ramai anak-anak yang tidak menghormati ibu bapa mereka. Perkara ini amat serius terutamanya di negara Barat yang telah rosak dalam sistem sosial dan kekeluargaan. Anak-anak telah hilang rasa hormat, sering bercakap dengan nada tinggi dan kasar, bahkan ada yang berani memukul kerana tidak sependapat atau berselisih faham.
Yang lebih teruk, ada yang tidak segan silu menyaman ibu bapa mereka jika menyentuh hal peribadi mereka. Inilah kelemahan sistem manusia yang sering dikatakan untuk memenuhi hak asasi manusia tetapi tidak pernah mampu mendidik dan membentuk peribadi yang mulia.
Islam mengajar agar anak-anak menghormati ibu bapa dan menghargai pengorbanan mereka. Perintah ini banyak dimuatkan dalam al-Quran yang menunjukkan bahawa perkara ini amat penting.
“Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya, ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya selama dua tahun, bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu, hanya kepada Aku kembalimu” (Luqman, 31: 14)
“Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua- dua ibu bapa…” (al-Ahqaf, 46: 15)
Menghormati dan taat kepada ibu bapa akan mewujudkan suasana yang harmoni, damai dan tenang dalam keluarga. Hadith RasulAllah di bawah wajar diperhati sebagai peringatan kepada kita dalam menjaga adab dengan ibu bapa.
“Bukanlah daripada golongan kamu, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami.” (Hadis riwayat Tabrani).
RasululAllah tidak mengiktiraf mereka yang tidak menghormati ibu bapa mereka termasuk dalam golongan muslim. Dalam hadis yang lain, perbuatan derhaka kepada kepada ibu bapa merupakan maksiat yang akan di balas dengan segera di dunia ini.
“Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia adalah zina dan menderhaka kepada dua ibu bapa.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Sebagai contoh mudah, cerita lama si tanggang yang sombong dan mengina ibunya setelah menjadi nahkoda kapal, mendapat balasan dengan ditukar menjadi batu setelah ibunya merintih dan berdoa kepada Allah akan memberi pengajaran kepadanya.
Menderhaka kepada kedua ibu bapa merupakan dosa yang besar dan sangat dimurkai oleh Allah. Perkara ini diberikan contoh yang lebih mendalam dan lebih kecil sehingga kepada perkataan dan ucapan seharian.
Allah melarang anak-anak melawan ibu bapa mereka dengan nada yang kasar yang boleh menyentuh hati seperti perkaaan ‘ah’, ‘cis’, ‘uh’ dan sebagainya.
“Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata ‘ah’ terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut.” (al-Isra’, 17: 23 )
Perkara ini mungkin nampak kecil, namun Allah tetap menekannya agar manusia mengambil peringatan dalam menjaga adab dan sebagai batas-batas dan aturan yang perlu diikuti demi keharmonian hidup.
Sebagai anak, wajar kita sentiasa bertutur dengan lemah lembut dan mengucapkan kata-kata yang baik dan menyenangkan hati mereka. Dan lebih-lebih lagi kita dituntut agar mendoakan kesejahteraan mereka.
“Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, “Wahai Tuhanku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka telah mendidik aku pada waktu kecil” (al-Isra’, 17: 24)
Menghormati dan berbakti kepada ibu bapa merupakan suatu perkara yang sangat disukai oleh Allah dan termasuk dalam perbuatan yang menjadi keutamaan yang tinggi.
Diriwayatkan daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu Umar berkata: Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad: Apakah perbuatan disukai oleh Allah? Lalu baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Kemudian apa? tanya saya lagi. Baginda menjawab: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Saya bertanya: Apa lagi. Jawab baginda: Berjihad pada jalan Allah.
Ketika ditanya oleh seorang sahabat daripada kaum Ansar mengenai masih adakah tanggungjawabnya terhadap ibu bapa yang sudah meninggal dunia, Rasulullah menjawab dengan sabdanya bermaksud:“Ada, iaitu berdoa, beristighafar untuk kedua-duanya, menyempurnakan janji, memuliakan sahabat taulan kedua-duanya dan menyambungkan silaturahim yang tidak sempat dijalinkan oleh kedua-duanya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).
Marilah kita bersama-sama menyemai kasih sayang dan mewujudkan keharmonian dalam keluarga sehingga diberkahi dan mendatangkan sakinah. Semoga keharmonian dalam keluarga akan menyemarakan lagi kesejahteraan dan kualiti hidup bermasyarakat.